Selasa, 19 Oktober 2010

Kementerian Pertahanan Malaysia Terima RM9b

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Kementerian Pertahanan menerima peruntukan berjumlah RM9 bilion bagi tujuan permodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) walaupun perkara itu tidak disentuh semasa pembentangan Bajet 2011 semalam.


Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun jumlah tersebut lebih rendah berbanding peruntukan yang dimohon, ia tidak akan menjejaskan perancangan permodenan yang dibuat kerana setiap pembelian aset baru akan dilakukan secara berhemat.

"Kita mengadakan perundingan lebih awal dengan Kementerian Kewangan serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Pertahanan bersedia dengan hakikat bahawa keutamaan harus diberikan kepada pembangunan sosioekonomi.

"Peruntukan untuk Kementerian Pertahanan tidak dimasukkan dalam ucapan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tetapi perbelanjaan tiap-tiap kementerian ada, kita terima sejumlah RM9 bilion," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Kelab UMNO Luar Negara di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai peruntukan Kementerian Pertahanan yang tidak disentuh dalam Bajet 2011 dengan Perdana Menteri hanya mengumumkan RM4.4 bilion bagi pembangunan sektor keselamatan.

Menurut Ahmad Zahid, selaku bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, beliau sangat memahami keterbatasan kerajaan dalam memberi peruntukan yang lebih besar kepada sektor pertahanan kerana situasi ekonomi sekarang tidak sesuai.

Walaupun mengakui keutamaan harus diberikan kepada pembangunan sosioekonomi, namun beliau menegaskan, Kementerian Pertahanan dan ATM tidak akan sekali-kali berkompromi dalam memperlengkap serta memoden aset pertahanan negara.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Anda dapat menggunakan acount FB anda untuk posting komentar